KOLEJ ISLAM DARUL RIDZUAN
telah ditubuhkan pada tahun 1999 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Perak. Pada September, 1999 seramai 11 orang pensyarah perintis telah diambil
bagi memulakan operasi penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan. Pada 4 Oktober,
1999 seramai 47 orang pelajar perintis telah diambil bagi mengikuti 3 program
Pengajian iaitu Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab dan Diploma
Usuluddin.
Pada peringkat awalnya Kolej Islam Darul Ridzuan telah didaftarkan
di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1996 di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Kampus sementara
Kolej Islam Darul Ridzuan terletak di Jalan
Dato’ Seri Shaari, Off Jalan Raja Dihilir, 30350 Ipoh. Kampus ini telah
dirasmikan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 16 Oktober, 1999.
Pada 17 November, 2000 Dewan Undangan Negeri Perak telah
meluluskan enakmen Bil. 3 Tahun 2000, Enakmen Kolej Islam Darul Ridzuan
yang menjadikan Kolej Islam Darul Ridzuan sebagai sebuah Badan Berkanun
yang terletak terus di bawah Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Enakmen Kolej Islam Darul Ridzuan telah diluluskan oleh
Dewan Negeri Perak pada 19 November 2001 dan telah diperkenankan oleh
Kebawah
DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada 6 Mac 2002 dan telah disiarkan untuk
pengetahuan umum pada 28 Mac, 2002. Pada 24 Mei 2003 penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan telah didaftarkan di bawah
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.