Sejak awal penubuhannya pada tahun 1999, kolej
telah memfokuskan perancangan dan perlaksanaan ke arah peningkatan pembangunan
infrastruktur, sumber manusia, pengiktirafan, pengukuhan sistem pengajaran
dan pembelajaran yang bertaraf tinggi serta penyediaan kemudahan-kemudahan
terkini. Kampus sementara kolej di Jalan Dato’ Seri Shaari, Ipoh, Perak,
telah dinaiktaraf demi menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif
kepada seluruh kakitangan dan siswa-siswi.
Kerja-kerja pembinaan kampus tetap bertempat
di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak telah bermula pada Julai 2006 dan di
jangka siap pada bulan April, 2008. Kampus baru ini menelan belanja sebanyak
RM66 juta. Kemudahan-kemudahan termoden ICT akan menjadi keutamaan disamping
mengambil kira perkara-perkara yang berkaitan dengan cabaran-cabaran globalisasi.
Semua kursus sepenuh masa yang terdiri daripada
Diploma Usuluddin, Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Bahasa & Kesusasteraan
Arab, Diploma Perbankan & Kewangan Islam, Diploma Perakaunan dan Diploma
Teknologi Maklumat telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan
Malaysia
(MQA/LAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pengiktirafan dalam dan luar negara
kepada diploma-diploma yang dikeluarkan oleh kolej ini melambangkan kualiti
kursus yang dijalankan. Akreditasi luar negara juga, terutamanya daripada
universiti-universiti Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar, University
of Jordan, Universiti Mu’tah Universiti ahlu al-Bayt, Universiti
Yarmourk dan Universiti Hashimiyyah terhadap diploma-diploma
daripada Fakulti-fakulti Pengajian Islam Kolej Islam Darul Ridzuan adalah satu tanda
aras pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem pengajian yang dijalankan
disini. Pensyarah-pensyarah jemputan daripada Universiti al-Azhar Mesir, universiti-universiti
tempatan seperti UKM, UM, UIA, dan USM serta tenaga-tenaga pengajar kolej
yang berkelayakan PHD, Sarjana (MA) dan Sarjana Muda telah banyak menyumbang
kepada kemajuan akademik kolej.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi terima
kasih kepada YAB Menteri Besar Perak, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Kolej, Majlis Agama Islam Negeri Perak, Jabatan-Jabatan
Kerajaan Negeri Perak, seluruh kakitangan kolej, siswa-siswi, ibubapa, dan
masyarakat amnya yang selama ini telah memberi sokongan padu yang tidak berbelah
bagi, demi kemajuan kolej ini.
Sekian, wassalam.
PROF. DATUK DR. MUHAMMED YUSOFF BIN HUSSAIN,
P.S.D., P.M.P.,
REKTOR KOLEJ ISLAM DARUL RIDZUAN